Isnin, 9 Oktober 2017 | 12:10am

Pegawai, anggota polis disiasat

JOHOR BAHRU: Pegawai dan anggota polis disiasat susulan penularan video klip mengenai mereka sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata pegawai dan anggota polis terbabit juga sudah ditukar serta-merta sementara menunggu tindakan susulan.

"Susulan penularan video klip pegawai polis berhibur di Pusat Hiburan di Muar, Johor pada 8 Oktober 2017, semua pegawai dan anggota terbabit ditukarkan serta merta sementara menunggu tindakan susulan. Siasatan tatatertib dijalankan sebaik sahaja maklumat ini diterima.

"Dalam hal ini, PDRM melihat pelanggaran tatatertib ini tidak boleh dikompromi dan akan mengambil tindakan yang tegas kepada semua yang terbabit," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Mohd Khalil berkata, semua pegawai dan anggota PDRM mesti akur kepada kehendak integriti dalam memartabatkan PDRM selaku penguatkuasa undang-undang utama negara.

4768 dibaca
Berita Harian X