Isnin, 9 Oktober 2017 | 1:09pm
PEGAWAI SPRM mengiringi Afifah ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dituduh atas kesalahan meminta suapan bernilai RM2,000 daripada seorang lelaki berkaitan kes akta racun pada 15 Disember 2015 lalu. - Foto Amran Hamid

Sarjan polis wanita didakwa rasuah

ALOR SETAR: Seorang anggota polis wanita berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, sebentar tadi atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah pada dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Afifah Zainal Abidin, 28, mengaku tidak bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Amernudin Ahmad, sekali gus meminta dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, Afifah didakwa meminta suapan berjumlah RM2,000 daripada Ahmad Termizi Mohd Izham, menerusi panggilan telefon yang mana semasa kejadian Ahmad Termizi berada dalam Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daerah Kota Setar.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Disember 2015 kira-kira jam 11.40 pagi, ketika bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik di Bahagian Siasatan Jabatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Setar, di sini.

Bagi pertuduhan kedua, Afifah didakwa menerima wang suapan berjumlah RM2,000 daripada Ahmad Termizi di Restoran Zeefee, Jalan Pegawai, di sini pada 15 Disember 2015 jam 12.10 tengah hari.

Dua kesalahan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan supaya Afifah menangguhkan proses pertuduhan Ahmad Termizi berhubung kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 di mahkamah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar, manakala Afifah diwakili peguam Ruzanna Abdul Halim.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan 13 November depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula.

Berita Harian X