Isnin, 9 Oktober 2017 | 3:03pm
PDRM logo

Pengawal keselamatan maut motosikal dirempuh kereta

BATU GAJAH: Seorang pengawal keselamatan warga emas maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta ketika melintas di persimpangan lampu isyarat di Kilometer (KM) 12, Jalan Ipoh-Lumut, dekat sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar, berkata dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, mangsa Yusof Shamsuddin, 72, yang beralamat di Perumahan Awam Siputeh 2, dekat sini, meninggal dunia akibat parah pada beberapa anggota badan.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave datang dari arah Pusing menghala Lahat secara tiba-tiba melintas jalan.

Pada masa sama, katanya, sebuah kereta Nissan Sentra dipandu lelaki berusia 43 tahun yang datang dari arah Ipoh menuju Lumut gagal mengelak motosikal ditunggang mangsa lalu melanggar bahagian sisi kiri motosikal.

"Akibat rempuhan, penunggang motosikal yang juga warga emas itu meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu kereta berkenaan bagaimanapun tidak cedera," katanya di sini hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X