Isnin, 9 Oktober 2017 | 5:08pm
R Munusamy menunjukkan gambar suspek dipercayai terbabit dalam satu kes pembunuhan di sebuah tapak pembinaan di Kampung Batu Muda Jinjang, 4 Oktober lalu.

Lelaki dibunuh kerana cemburu

KUALA LUMPUR: Polis memburu sepasang suami isteri warga Indonesia selepas terbabit dalam satu kes pembunuhan di tapak pembinaan sebuah kondominium Kampung Batu Muda Jinjang dekat sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian pada jam 6.40 petang itu membabitkan mangsa seorang lelaki warga Indonesia berusia 32 tahun dibunuh dengan tiga kesan tikam di beberapa bahagian badan mangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terjumpa mayat.

"Kami mengesan sepasang suami isteri iaitu Kasnawi dan Yumyat dipercayai terbabit dalam satu kes pembunuhan di sebuah tapak pembinaan 4 Oktober lalu.

"Hasil siasatan mendapati motif pembunuhan mangsa disebabkan cemburu kerana dipercayai mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isteri suspek.

"Suspek dan mangsa ialah buruh binaan yang bekerja di kawasan tapak pembinaan di kondominium terbabit dan mereka tinggal bersama-sama," katanya dalam sidang media hari ini.

Munusamy, berkata selain mangsa dan suspek ada seorang lagi lelaki yang tinggal bersama-sama mereka, iaitu abang mangsa.

"Kami juga menerima laporan bahawa abang mangsa pernah diberi amaran oleh suspek supaya memberi tahu adiknya (mangsa) untuk berhati-hati mengenai hubungan sulit terbabit.

"Siasatan polis di tempat kejadian turut menemui sebilah pisau berukuran 26 sentimeter dipercayai digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai mati selepas suspek menikam bahagian dada yang menembusi pada jantung dan paru-paru mangsa.

"Hasil bedah siasat Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati terdapat tiga tikaman pada badan mangsa iaitu di leher, belakang badan serta dada.

"Kami percayai suspek masih berada dalam negara. Orang awam mempunyai maklumat mengenai pasangan suami isteri boleh menghubungi Asisten Superintendan Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991 atau Balai Polis Sentul," katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.

Berita Harian X