Selasa, 10 Oktober 2017 | 8:25pm

Lima ditahan bersama dua bakakuk dalam pondok sawit

TAWAU: Polis merampas dua senapang buatan sendiri atau bakakuk bersama tujuh butir peluru, selepas menahan lima suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan terhadap sebuah pondok dalam kebun kelapa sawit di Kilometer 60, Jalan Tawau-Kunak di sini, awal pagi tadi.

Serbuan kira-kira jam 1 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor, berkata semua suspek berusia 21 hingga 38 tahun itu ditahan selepas polis mendapat maklumat daripada penduduk kampung berhampiran.

"Pemeriksaan lanjut dalam pondok itu menemui dua laras bakakuk panjang berukuran 40 inci bersama tujuh peluru hidup dan tiga paket plastik berisi hablur jernih disyaki syabu.

"Siasatan lanjut mendapati senjata api dan peluru itu milik seorang suspek lelaki berumur 32 tahun tanpa lesen pemilikan senjata.

"Saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke IPD Tawau untuk tujuan siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.

Nor Azizulkifli berkata, semua suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X