Khamis, 12 Oktober 2017 | 2:30pm
HAFIZ Hamidun dan Joy Revfa. - Foto Hazreen Mohamad

Kemelut rumahtangga Hafiz Hamidun, Joy Revfa bakal berakhir

PETALING JAYA: Penyanyi Hafiz Hamidun memfailkan permohonan cerai terhadap isterinya Joy Revfadi Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, di sini, hari ini.

Hafiz atau Muhammad Hafiz Hamidun yang memfailkan permohonan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu perceraian secara baik hadir bersama peguam syarie Azmi Mohd Rais kira-kira jam 1 tengah hari.

Berdasarkan notis permohonan yang difailkan, antara alasan perceraian yang dikemukakan ialah, tiada lagi persefahaman antaranya dengan Joy Revfa atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, 30, dan tiada lagi kebahagiaan dalam rumah tangga mereka.

Hafiz juga mendakwa isterinya itu sentiasa mengaibkan beliau di laman sosial, enggan menerima nasihat yang diberikan malah ingkar dengan suruhan Hafiz sebagai seorang suami termasuk menjatuhkan imej dan reputasinya.

Saman berhubung permohonan itu akan diserahkan kepada Joy Revfa pada sidang media yang diadakan petang ini di Shah Alam.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 1 Mei 2017. Joy Revfa pernah berkahwin dengan Datuk Mohd Rayus Abdul Rahim dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.

Sementara itu, Hafiz ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata bahawa beliau memfailkan cerai selepas prosiding kes pengesahan cerai antara Joy Revfa dengan bekas suaminya disahkan mahkamah.

"Banyak isu tergantung dalam perkahwinannya bersama bekas suami. Pihaknya (Joy Revfa) mendapat hikmah daripada keputusan mahkamah itu dan banyak perkara dapat diselesaikan.

"Keadaan itu sebelum ini memberi impak kepada hubungan kami dan saya rasa tidak perlu meneruskan lagi hubungan ini," katanya.

Beliau berkata, Joy Revfa juga menyusahkan dirinya selepas pernikahan kerana gagal mengemukakan sijil cerai bersama bekas suaminya sehingga menyebabkan status perceraian mereka hanya diselesaikan pada Selasa lalu.

Selain itu Hafiz memberitahu bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Joy Revfa masih mengeluarkan kenyataan negatif mengenainya kepada umum.

"Sebenarnya saya tidak berminat langsung dengan apa yang dia luahkan dalam media sosial. Saya tidak mahu layan apa yang dia cakap kerana kenyataannya tidak berasas dan ia lebih kepada emosi," katanya.

Mahkamah menetapkan 25 Oktober ini untuk pendengaran permohonan itu.

7521 dibaca
Berita Harian X