Khamis, 12 Oktober 2017 | 7:02pm

Kanak-kanak maut, 3 hilang di air terjun

LANGKAWI: Fenomena 'kepala air' yang melanda kawasan air terjun Kampung Buku di Lubuk Semilang, di sini, petang semalam meragut satu nyawa, manakala tiga lagi kanak-kanak hilang dihanyut arus deras yang membadai secara tiba-tiba.

Mangsa yang lemas dikenali Qistina Puteri Wira, 11, selepas mayatnya ditemui penduduk kampung tersangkut pada tebing sungai kira-kira 500 meter dari lokasi kanak-kanak itu dihanyutkan dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang.

Tiga mangsa yang masih hilang dikenali Anis Syakirah Saad, 12, dari Kampung Lawer di Padang Matsirat, di sini selain Nur Iman Wahida Mohd Basri, 11, dari Kampung Ranggut dan Siti Aishah Kassim, 5, dari Bukit Malut.

Semua mangsa adalah antara enam kanak-kanak yang dilapor hanyut ketika fenomena kepala air melanda kawasan rekreasi itu, namun dua daripada mereka iaitu Adib Irfan, 11, yang juga adik kepada Anis Syakirah, serta Alif Akmal Md Zamri, 12, sempat diselamatkan orang ramai.

Alif Akmal bernasib baik kerana sempat berpaut pada batu di tebing sungai ketika dihanyutkan arus yang datang secara tiba-tiba itu, sebelum diselamatkan orang ramai.

"Ketika kejadian kawasan itu tenang dan saya bersama pengunjung lain termasuk beberapa kanak-kanak asyik bermain air sambil menyelam.

"Saya tidak sedar bila arus deras itu datang dan sebaik menyedari, saya sudah dihanyutkan arus, dalam terkapai-kapai saya sempat berpaut pada batu dan orang ramai tarik saya ke tempat selamat," katanya.

Selain kanak-kanak terbabit yang datang berkelah bersama keluarga masing-masing, beberapa pengunjung termasuk pelancong asing dikatakan turut mandi-manda, namun terselamat dalam kejadian itu.

Bapa Anis Syatirah, Saad Ariffin, 45, mengesahkan terkejut menerima panggilan daripada isterinya yang menangis, memaklumkan anak sulung mereka hanyut dibawa arus.

"Ketika kejadian saya di tempat kerja dan isteri ada menghubungi kira-kira jam 3.45 petang memaklumkan ingin bawa anak-anak ke Lubuk Semilang untuk mandi-manda, saya sempat pesan kepada mereka supaya hati-hati kerana sekarang ini musim hujan.

"Tidak lama selepas itu dia (isteri) sekali lagi telefon dan menangis beritahu anak sulung kami hanyut, Anis memang boleh berenang sikit-sikit, tetapi dia tak mahir," katanya ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintendan Mahani Mohamed, mengesahkan kejadian itu dan usaha mencari tiga lagi mangsa berusia antara 5 hingga 12 tahun masih diteruskan.

2579 dibaca
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi mencari tiga kanak-kanak yang hilang dihanyutkan arus di kawasan air terjun Kampung Buku, Lubuk Semilang di Langkawi sebentar tadi. - Foto Ihsan Pembaca
Berita Harian X