Jumaat, 13 Oktober 2017 | 7:43am

Perintah berkurung di ESSZONE dilanjut

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di tujuh daerah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan bagi fasa ke-75 bermula esok selepas pelaksanaan fasa sebelum ini yang bermula pada 28 September lalu berakhir hari ini.

Peraturan itu yang dikuatkuasakan di perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran berkuatkuasa setiap hari bermula jam 6 petang hingga jam 6 pagi selama dua minggu sehingga 29 Oktober ini.

Sepanjang tempoh itu orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada dalam rumah, manakala orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang diisytiharkan bagi penguatkuasaan peraturan berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, dalam kenyataannya hari ini berkata peraturan itu diteruskan bagi mengekang ancaman pencerobohan pengganas dari selatan Filipina terutama kumpulan culik untuk wang (KFR) dan Abu Sayaf (ASG) yang dikesan masih cuba menceroboh perairan ESSZONE.

"Ini bagi memastikan keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong luar negara yang melawat pulau peranginan yang ada di ESSZONE.

"Pada masa sama, langkah meneruskan perintah berkurung bertujuan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan yang berada di daratan di kawasan ESSZONE.

"Ia juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan yang menguatkuasakan perintah berkurung," katanya.

Beliau berkata, ketua polis di tujuh daerah terbabit diberi kuasa untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau menggunakan laluan kawasan perintah berkurung sepanjang penguatkuasaan peraturan itu.

2226 dibaca
Berita Harian X