Jumaat, 13 Oktober 2017 | 3:04pm

Penghantar surat dipenjara 8 tahun

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar surat dipenjara lapan tahun dan dua sebatan selepas disabit bersalah atas dua pertuduhan merompak dan mencederakan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Shamsudin Abdullah dalam keputusannya memerintahkan hukuman penjara ke atas Noorhisham Saifful Mohd, 25, berkuatkuasa dari tarikh jatuh hukum (hari ini).

Shamsudin menerusi penghakimannya berkata, pihak pembelaan yang diwakili peguam M Mathavan gagal menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Terdahulu, Shamsudin memerintahkan tertuduh dipenjara lapan tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan merompak manakala untuk pertuduhan mencederakan, dia diarahkan penjara tiga tahun.

Hukuman penjara bagaimanapun berjalan serentak.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersama dengan seorang yang masih bebas telah merompak beg tangan milik jurujual, Kee Rok Kuen, 38, di hadapan rumah di Taman Sejahtera, di sini, pada jam 7.15 malam, 1 Disember 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Tertuduh bersama seorang yang masih bebas didakwa pada hari sama menyebabkan kecederaan ke atas rakyat India, Ravinder Kurma, 27, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan dengan menggunakan cota dan batang besi di mana boleh menyebabkan kematian di taman sama, jam 7.15 petang.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Farhan Aziz memohon hukuman setimpal berikutan mangsa pertama mengalami trauma dan sering berasa takut selepas kejadian itu manakala mangsa kedua pula mengalami kecederaan dan telah menerima beberapa jahitan.

Mathavan dalam rayuan untuk anak guamnya pula memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh perlu menanggung empat anak termasuk dua anak tiri dengan pendapatan RM1,300 sebulan.

Isteri tertuduh turut hadir di galeri awam dan menangis teresak-esak selepas mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya suaminya.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 30 Mac lalu seramai 10 saksi pendakwaan dikemukakan manakala pihak pembelaan menampilkan tiga saksi termasuk tertuduh.

Berita Harian X