Sabtu, 14 Oktober 2017 | 7:56pm
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat pemandu lori selepas terbabit kemalangan di KM11.5, Jalan Banting-Dengkil, pagi tadi. - Foto ihsan Polis

2 maut, lori rempuh motosikal

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori dan penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 11.5, Jalan Banting-Dengkil, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata kemalangan jam 8.15 pagi tadi berlaku selepas pemandu lori, N Saravanan, 47, gagal mengawal kenderaannya.

Berikutan itu, lori berkenaan merempuh motosikal yang ditunggang Zairi Mat Pandi, 31, yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Akibat rempuhan itu, kedua-dua kenderaan berkenaan masuk parit.

"Zairi yang beralamat di Kanchong Darat, dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Azizan berkata, pihaknya dengan bantuan bomba mengambil masa kira-kira lapan jam bagi menaikkan mayat Saravanan yang berada di tempat duduk pemandu.

Katanya, kedudukan kepala lori yang terbenam di dasar parit menyebabkan usaha mengeluarkan mangsa mengambil masa hingga jam 4.30 petang tadi.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X