Isnin, 16 Oktober 2017 | 12:26am

Kecoh selepas perlawanan Perak-JDT berakhir seri

IPOH: Kekecohan berlaku selepas tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) meskipun kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Perak di sini malam ini.

Difahamkan, kekecohan dipercayai bermula sebelum tamat perlawanan yang menyaksikan kedua-dua penyokong mula membaling botol ke padang.

Ada antara individu yang tidak dikenal pasti mengeruhkan lagi keadaan apabila membaling mercun ke arah sekumpulan penonton.

ANGGOTA polis menahan seorang penyokong di pekarangan Stadium Perak selepas Perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia antara Perak menentang JDT di Stadium Perak. - Foto Muhaizan Yahya

Seorang lelaki dipercayai penyokong cedera di kepala dan perut akibat terkena mercun berkenaan dan diberikan rawatan awal Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. 

Pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat menahan beberapa individu bagi mengawal keadaan.

Sementara itu, enam bas yang membawa penyokong JDT diarahkan beredar dari kawasan stadium untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

SEORANG penyokong dipercayai terkena mercun di pekarangan Stadium Perak selepas Perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia antara Perak menentang JDT di Stadium Perak. - Foto Muhaizan Yahya
ANGGOTA polis berkawal di perkarangan Stadium Perak selepas Perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia antara Perak menentang JDT di Stadium Perak. - Foto Muhaizan Yahya
Berita Harian X