Isnin, 16 Oktober 2017 | 1:11am
ANGGOTA polis menahan seorang penyokong di pekarangan Stadium Perak selepas Perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia antara Perak menentang JDT di Stadium Perak. - Foto Muhaizan Yahya

Kecoh bola: 2 cedera, beberapa ditahan

IPOH: Dua termasuk seorang anggota polis cedera dalam kekecohan selepas tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata keadaan dalam stadium sepanjang perlawanan adalah terkawal namun berlaku kekecohan sebaik tamat perlawanan.

Katanya, kekecohan dipercayai berpunca daripada penyokong Perak manakala penyokong JDT dikawal anggota polis ketika keluar dari stadium.

"Setakat ini, dua cedera iaitu seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh manakala seorang lagi lelaki daripada penyokong JDT dipercayai akibat mercun.

"Butiran mengenai lelaki berkenaan belum diperoleh," katanya ditemui di stadium sebentar tadi.

Beliau berkata, beberapa individu turut ditahan dipercayai menimbulkan kekecohan dan membaling mercun di luar stadium.

"Penyokong JDT seramai kira-kira 200 orang pulang dalam keadaan selamat dan tidak berlaku perkara tidak diingini," katanya.

Chang Keong berkata, seramai 1,000 pegawai dan anggota polis serta Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal keselamatan di stadium berkenaan dan bersurai pada jam 12.15 tengah malam selepas suasana kembali tenang dan terkawal.

Berita Harian X