Isnin, 16 Oktober 2017 | 6:08pm

2 pekerja ladang mati dibunuh dalam kes berasingan

SANDAKAN: Dua pekerja ladang mati dibunuh akibat pergaduhan dalam dua kejadian berasingan di Kinabatangan dan Ranau, semalam.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 8.45 pagi di hadapan rumah pekerja di Ladang Gomantong Paris 2 Kinabatangan, warga Indonesia, Ewan Ibrahim, 30, maut akibat ditetak dengan parang dan mengalami kecederaan pada tangan kanan.

Mayat mangsa ditemui pada jam 1 tengah hari dalam kawasan ladang kelapa sawit, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian selepas melarikan diri.

Dalam masa sama, suspek warga Indonesia berumur 35 tahun turut cedera akibat ditikam mangsa dalam pergaduhan itu dan kini menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata siasatan mendapati ketika kejadian suspek dikatakan pergi ke rumah mangsa sebelum berlaku pertengkaran kerana mangsa tidak hadir bekerja hampir dua bulan.

"Susulan itu berlaku pertengkaran menyebabkan suspek marah dan membaling batu ke arah mangsa hingga terkena belakangnya menyebabkan mangsa mengejar dan menendang suspek.

"Suspek kemudian melarikan diri dan datang semula ke rumah mangsa tidak lama kemudian lalu menetak menggunakan parang. Ketika pergaduhan itu, mangsa memegang pisau dan turut menyerang serta menikam suspek dua kali di bahagian rusuk kanan dan perut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ramli berkata, suspek yang cedera dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat.

Dalam kes berasingan di ladang kelapa sawit di Kampung Wahulu, Ranau, pekerja warga Filipina, Gordon Batangan, 30-an, ditemui mati dalam keadaan meniarap di bahagian pintu dapur rumah kongsi dengan kesan luka sepanjang empat sentimeter di belakang badan dipercayai ditikam dengan objek tajam.

Kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu dipercayai berpunca akibat salah faham antara mangsa dengan beberapa pekerja ladang.

Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas dihubungi oleh pengurus ladang pada jam 9 malam tadi.

"Kira-kira jam 12 tengah hari tadi, polis menahan tujuh lelaki warga Filipina tiada keterangan diri serta menemui sebilah parang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan. Polis kini sedang mengenal pasti suspek utama kes berkenaan," katanya.

Berita Harian X