Selasa, 17 Oktober 2017 | 9:30am
KEADAAN van kilang dan Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan di Sungai Petani, awal pagi tadi. - Foto Omar Osman
KEADAAN van kilang dan Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan di Sungai Petani, awal pagi tadi. - Foto Omar Osman

2 maut, 10 cedera nahas dua kenderaan

SUNGAI PETANI: Dua maut manakala 10 yang lain cedera termasuk dua parah dalam kemalangan kereta merempuh van kilang di Jalan Sungai Petani arah ke Tikam Batu, awal pagi tadi.

Difahamkan, mereka yang maut ialah seorang pekerja kilang dan pemandu kereta jenis Perodua Myvi namun identiti mangsa belum dikenal pasti.

Dalam kejadian jam 5.55 pagi berhampiran Kampung Padang Buluh di sini, van terbabit dari arah Sungai Petani manakala kereta yang membawa seorang penumpang dari Tikam Batu.

Difahamkan, van dinaiki 10 orang termasuk pemandu itu dalam perjalanan ke sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Prai, sebelum dirempuh Myvi dari arah bertentangan.

Rempuhan menyebabkan van berkenaan berpusing beberapa kali hingga menyebabkan semua penumpang tercampak ke jalan.

Susulan itu, seorang mangsa dipercayai terperosok ke bawah Myvi terbabit manakala pemandu dan penumpang kereta tersepit di tempat duduk.

Difahamkan, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Tikam Batu berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 6.01 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba, semua penumpang van didapati tercampak di jalan manakala pemandu van dan kereta tersepit di tempat duduk.

"Semua yang tersepit segera dikeluarkan manakala mangsa maut dan cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), " katanya.

Berita Harian X