Khamis, 19 Oktober 2017 | 12:04pm

Hina sultan: Remaja didenda

IPOH: Seorang pelajar tingkatan enam didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Perak dalam laman sosial, enam hari lalu.

Majistret Siti Hafizah Jaafar turut memerintahkan pelajar lelaki sebuah sekolah di Muar, Johor, itu dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh didakwa menggunakan aplikasi Twitter secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik iaitu 'Sultan Perak pun bodoh' di laman http://mobile.twitter.com/farhaleigh dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bandar Baru Medan Ipoh di sini pada jam 10.30 malam pada 13 Oktober lalu.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Awatif Ahmad Bashir.

Terdahulu, Siti Hafizah meminta tertuduh menyebut lima prinsip Rukun Negara di dalam mahkamah dan bertanya sama ada dia memahami prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu.

Beliau juga menjelaskan tindakan tertuduh itu menyalahi prinsip kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan serta ramai anggota masyarakat turut mengabaikannya sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan angkuh serta menghina orang lain.

"Berdasarkan pertuduhan, awak sepatutnya boleh dipenjarakan tetapi disebabkan usia yang masih muda, mahkamah cuba menghindarkan hukuman itu demi masa depan kamu.

"Bagaimanapun, hukuman setimpal perlu diberikan sebagai pengajaran," katanya.

SEORANG pelajar Tingkatan Enam sebuah sekolah di Muar, Johor, didenda RM5,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas menghina Sultan Perak dalam akaun Twitter. - Foto Muhaizan Yahya
Berita Harian X