Sabtu, 21 Oktober 2017 | 7:08pm
ABDUL Rahim menunjukkan sebahagian rokok seludup yang berjaya dirampas pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua Kuala Linggi, di Kuala Linggi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

PPM, APMM rampas rokok tiruan lebih RM5 juta

ALOR GAJAH: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 435,000 paket rokok tiruan pelbagai jenama bersama tiga lori, dianggarkan bernilai RM4.88 juta dalam serbuan di Sungai Sekawang dekat Port Dickson, Negeri Sembilan.

Komander PPM Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Abdullah, berkata rampasan yang terbesar tahun ini dibuat hasil risikan dan intipam terhadap maklumat yang diterima.

Katanya, dalam serbuan jam 9 malam Khamis lalu, pasukan terdiri daripada 22 anggota PPM Bukit Aman; Wilayah 2 Johor; Unit Gempur Marin (UNGERIN) dan Bot Ronda RH 5 PPM W2 Kuala Linggi di kawasan perairan mengesan sekumpulan suspek sedang memunggah kotak rokok dari dua bot pancung ke dalam tiga lori.

"Bagaimanapun, semua suspek dipercayai melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran sebaik menyedari kehadiran anggota PPM dan gagal dikesan berikutan keadaan gelap.

"Masa sama, dua bot pancung yang berada di lokasi memecut ke arah perairan Indonesia dalam usaha melarikan diri sebelum melanggar bahagian kanan Bot Ronda RH5 sehingga menyebabkan kerosakan serius. Seorang kru bot ronda berusia 20-an turut cedera di muka," katanya selepas sidang media di Markas PPM Wilayah Dua Kuala Linggi, di sini petang ini.

Abdul Rahim berkata, beliau tidak menolak kemungkinan rokok berkenaan dipercayai untuk jualan pasaran tempatan sekitar Johor, Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Melaka.

Katanya, semua barangan rampasan termasuk tiga lori itu dibawa ke Markas PPM W2 Kuala Linggi untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barangan belum mendapat kelulusan Kastam dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Daerah Maritim Kuala Linggi (DM5) mematahkan cubaan bot gentian kaca yang membawa muatan 2.2 juta batang rokok putih (11,000 karton) seludup membabitkan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM363,000, awal pagi tadi.

Pengarah APMM DM5, Kepten Maritim Ahmad Faridi Ferdaus, berkata serbuan dilakukan selepas menerima maklumat risikan mengenai aktiviti pendaratan rokok haram di perairan Tanjung Gemok, Lukut, Negeri Sembilan, kira- kira jam 6 pagi.

Katanya, bot gentian kaca dilengkapi tiga enjin berkuasa 200 kuasa kuda dan 1 enjin 150 kuasa kuda, bernilai kira- kira RM250,000 turut dirampas dalam serbuan itu.

"Kita percaya seramai enam penyeludup terbabit disyaki dari negara jiran untuk memasarkan rokok putih itu ke Lembah Klang, Selangor dan negeri ini," katanya.

490 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »