Sabtu, 21 Oktober 2017 | 7:10pm
DATUK Dr Ibrahim Komoo.-Foto Aswadi Alias

Bencana cetusan manusia atau bencana teknologi - Ibrahim Komoo

KUALA LUMPUR: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan pembinaan disifatkan bukan bencana alam sebaliknya bencana cetusan manusia atau bencana teknologi.

Pakar Geologi, Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata kawasan berbukit dan bercerun apabila ditarah untuk tujuan pembangunan menyebabkan berlakunya ketidakstabilan kawasan itu yang seterusnya berisiko berlakunya tanah runtuh.

Malah Ibrahim melihat, kebanyakan kejadian tanah runtuh yang berlaku di negara ini juga berpunca daripada sikap pemaju atau kontraktor yang gagal mengamalkan kejuruteraan cerun untuk pembangunan.

"Semua cerun bukit yang di potong akan menyebabkan ia berisiko untuk gagal. Kebanyakan cerun berada dalam keadaan stabil dan seimbang. Namun apabila di potong menjadi ia tidak kurang stabil dan seterusnya berisiko berlakunya tanah runtuh.

"Jadi apabila membuat pemotongan cerun, dalam amalan kejuruteraan, ia perlu dikukuhkan sebagai langkah penstabilan sama ada secara kekal ataupun sementara sebelum kerja kerja pembinaan diteruskan," katanya yang juga Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Malaysia (MPM).

Beliau diminta untuk mengulas berhubung kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan rumah di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Dalam kejadian kira-kira 8.50 pagi tadi, seramai 14 mangsa terperangkap dengan tiga daripadanya berjaya diselamatkan dalam kejadian runtuhan tanah itu.

Kata Ibrahim, kawasan berbukit dan bercerun di Pulau Pinang sememangnya mempunyai risiko yang tinggi berlakunya tanah runtuh disebabkan struktur batuan berbentuk granit.

Katanya, kawasan batuan granit sememangnya cenderung berlakunya tanah runtuh disebabkan ia mampu menyerap air seterusnya menyebabkan ia tidak stabil.

Malah Ibrahim melihat pembangunan yang kurang mampan di negeri terbabit hingga menghampiri kawasan berbukit menjadikan banyak kejadian tanah runtuh berlaku hingga menyebabkan banyak nyawa yang terkorban.

"Tempat atau negeri mana tidak penting, sekiranya bukit itu dipotong menjadikan kawasan itu berisiko berlakunya tanah runtuh," katanya.

Berita Harian X