Khamis, 26 Oktober 2017 | 2:14pm
Bekas anggota polis berpangkat sarjan Misnan Saari diiringi pegawai SPRM untuk didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,000 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Rosdan Wahid
Bekas anggota polis berpangkat sarjan Misnan Saari diiringi pegawai SPRM untuk didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,000 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Rosdan Wahid

Bekas sarjan didakwa lima tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang bekas sarjan polis mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan meminta, bersetuju menerima, dan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM3,150 sebagai imbuhan bagi mengelakkan tiga individu diambil tindakan undang-undang berhubung kesalahan dadah, tahun lalu.

Di hadapan Hakim Madihah Harullah, tertuduh, Misnan Saari, 56, didakwa sebagai Sarjan polis yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah menerima wang tunai RM200 daripada Azmi Abdul Talib, dengan tiada balasan yang mana tertuduh ketahui ada hubungan dengan tugas rasmi tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Tingkat 3, Blok D, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Wangsa Maju pada jam 4.40 petang, 27 Mac 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat dia didakwa meminta wang tunai RM1,000, bersetuju menerima masing-masing RM250 dan RM200 daripada Aizi Ikhffa Ahmad, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Aizi Ikhffa yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di tempat sama, antara jam 8.30 malam, 27 Mac 2016 dan 2 petang, 28 Mac 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Hakim Allaudeen Ismail, tertuduh didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai RM1,500 daripada Muhammad Shah Radhi Hazvee sebagai dorongan untuk tidak menyebabkan Muhammad Shah Radhi dituduh di mahkamah atas kesalahan dadah di Stesen Minyak Shell, Jalan Ipoh, di sini antara jam 2.50 petang dan 3 petang, pada 30 September 2015.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abdul Rashid Sulaiman menawarkan jaminan RM20,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di SPRM berhampiran, setiap bulan.

Peguam Norman Mohd Nasir memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan anak guamnya telah berkhidmat sebagai anggota polis selama 37 tahun dan tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri.

Madihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi empat pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM berhampiran pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 27 November untuk sebutan semula kes. Sementara itu Allaudeen membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 beserta syarat tambahan yang sama dan menetapkan 23 November untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X