Khamis, 26 Oktober 2017 | 3:17pm
MAIMUNAH semasa sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown. - Foto Danial Saad

Projek dapat sokongan PLANMalaysia

GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang menafikan pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah gagal mendapat sokongan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Maimunah Mohd Sharif, berkata PLANMalaysia dalam suratnya bertarikh 11 Disember 2014 memaklumkan bahawa jabatan itu tidak menghalang pembinaan projek terbabit.

"Ia susulan projek terbabit berada dalam Kawasan Keutamaan Pembangunan Sedia Ada dan Pembangunan Baru, selain menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata projek kontroversi pembinaan 980 unit rumah mampu milik di lereng bukit itu gagal mendapat sokongan daripada PLANMalaysia.

Seramai 11 pekerja binaan maut dalam tragedi runtuhan tanah di tapak pembinaan perumahan mampu milik di Tanjung Bungah, pada Sabtu lalu.

Sementara itu, EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh, memaklumkan dua daripada 11 mayat tragedi runtuhan tanah di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, masih belum dituntut.

Katanya, kedua-dua identiti warga Myanmar itu gagal dikenal pasti, ekoran Pejabat Kedutaan Myanmar di Malaysia yang enggan memberikan kerjasama.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri memberi tempoh sebulan untuk pihak Pejabat Kedutaan Myanmar di Malaysia menguruskan prosedur menuntut kedua-dua mayat terbabit, sebelum proses lanjut dilakukan.

"Setakat ini, kita sedang menguruskan prosedur menghantar pulang lima jenazah warga Bangladesh yang turut terbabit dalam tragedi sama dan ia dijangka dapat diselesaikan hujung minggu ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, menggesa Kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji punca nahas di Kilometer 147 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) membabitkan dua bas dan sebuah van pekerja dan mengorbankan lapan mangsa.

Berita Harian X