Khamis, 26 Oktober 2017 | 3:43pm
KETUA Polis Daerah Sentul, R Munusamy. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
KETUA Polis Daerah Sentul, R Munusamy. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

4 ditahan kerana peras ugut

KUALA LUMPUR: Empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam pemerasan wang perlindungan berjumlah RM50,000 ditahan di Taman Pelangi dekat sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, semua suspek berusia antara 22 hingga 32 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata serbuan dibuat susulan laporan polis seorang mangsa berusia 45 tahun yang bekerja di tapak pembinaan kawasan terbabit.

"Mangsa didatangi empat lelaki tidak dikenali ketika berada di tapak pembinaan berkenaan kelmarin.

"Keempat-empat suspek didakwa meminta wang perlindungan RM50,000 bagi membolehkan mangsa meneruskan kerja di tapak berkenaan.

"Suspek dikatakan mengugut untuk membakar tapak projek terbabit jika mangsa enggan membayar wang diminta," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Munusamy berkata, siasatan awal mendapati semua suspek mengaku melakukan jenayah berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Berita Harian X