Jumaat, 27 Oktober 2017 | 12:36pm

Pendakwa raya mohon kes 19 penuntut UPNM dibicara bersama

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memohon kes membabitkan 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa sengaja mencederakan Pegawai Kadet, Zulfarhan Osman Zulkarnain, Mei lalu untuk dibicarakan bersama dengan kes bunuh mangsa yang melibatkan enam penuntut sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Akmal Norfarhan Aziz mengemukakan permohonan bicara bersama dalam prosiding sebutan semula kes itu di hadapan Majistret Siti Radziah Kamaruddin di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Oktober ini untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.

Tertuduh ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Turut dituduh adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Kesemua tertuduh yang berusia 21 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dalam Bilik 03-05, Blok Penginapan Asrama Jebat, universiti itu antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di Bilik 04-10, antara jam 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lalu.

Pertuduhan terhadap kesemua penuntut itu dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Semua tertuduh masing-masing diwakili peguam Mohd Fadhly Hashim, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Zamri Idrus, A G Kalidas dan Joshua Tay.

Muhammad Akmal Zuhairi, Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem adalah tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 dan 109 kanun sama kerana membunuh dan bersubahat membunuh mangsa.

Zulfarhan Osman, 21, Pegawai Kadet Laut UPNM meninggal dunia di Hospital Serdang pada jam 10 malam, 1 Jun lalu dengan kesan lebam dan melecur pada badan dipercayai didera dengan seterika wap.

1186 dibaca
Berita Harian X