Jumaat, 27 Oktober 2017 | 11:04pm

Sohaimi Shahadan cedera ditikam

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan cedera ditikam seorang lelaki yang disyaki mengalami masalah mental di hadapan rumah jirannya di Taman Desa Moccis, Sungai Buloh malam tadi.

Sohaimi, 48, cedera di bahagian kepala, belakang telinga kanan dan bahu kanan dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara.

Isteri beliau, Datin Ruby Arshad, 48, berkata kejadian bermula apabila adik iparnya dibaling dengan batu oleh suspek yang juga anak jirannya kira-kira pada jam 8.30 malam ketika dia sedang berbual bersama pemandu suami saya.

"Kemudian suami saya membawa beberapa saudara pergi ke rumah suspek untuk memaklumkan dan menegur perbuatan suspek kepada ibu bapanya.

"Ketika suami saya mengetuk pintu rumah suspek, ibu suspek membuka pintu dan secara tiba-tiba suspek meluru dari arah belakang dengan bersenjatakan pisau dapur.

"Suami saya mengelak tikaman tetapi terkena di bahagian belakang telinga dan bahunya sementara adik ipar saya cedera di bahagian muka apabila dia cuba menepis tikaman suspek," katanya ketika ditemui di wad kecemasan sebentar tadi.

Ruby berkata, Sohaimi berada dalam keadaan stabil sementara adik iparnya sedang menerima rawatan.

"Suami saya dibawa oleh pemandunya ke hospital selepas kejadian berkenaan.

"Saya pula tinggal di rumah bagi menunggu polis datang bagi menjalankan siasatan, tidak lama kemudian polis menahan suspek," katanya.

Sehubungan itu, menurut sumber polis, setakat ini kes tidak diklasifikasikan sebagai kes jenayah.

Bagaimana pun siasatan akan tetap diteruskan bagi mencari punca sebenar kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Somu Subramaniam ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Kita sudah tahan suspek yang berusia 27 tahun, dipercayai suspek mempunyai masalah mental dan tidak mempunyai pekerjaan.

"Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang motif dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X