Sabtu, 28 Oktober 2017 | 3:03pm
KEMALANGAN di Kilometer 45, Jalan Ipoh-Teluk Intan, Tapah. - Foto L Manimaran
KEMALANGAN di Kilometer 45, Jalan Ipoh-Teluk Intan, Tapah. - Foto L Manimaran

Semua mangsa dikenal pasti

TAPAH: Sembilan mangsa yang maut dalam kemalangan van dan lori ais di Kilometer 45, Jalan Ipoh-Teluk Intan, dekat sini, sudah dikenal pasti.

Mereka ialah pemandu van, Lew San Jau, 32 dan lapan penumpang kenderaan itu yang semuanya wanita iaitu Thong For Thye, 52;, Cheong Ka Yean, 55; Wong Yok Yen, 61; Yow Sam Mooi, 67; Cheong Moy, 68; Tang Kam Siew, 73; Liew Siew Fah, 81 dan Chong Moi, 82.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat negeri, Datuk Samsuddin Abu Hassan, berkata kerjasama antara pihak berkuasa dan hospital serta ahli keluarga mempercepatkan urusan pengecaman mayat mangsa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, berkata kerajaan negeri bersimpati dengan kematian lapan wanita dan pemandu van yang membawa mereka bekerja di ladang sengkuang di Malim Nawar, Kampar

"Kerajaan negeri menzahirkan simpati dan meminta ahli keluarga bersabar atas kejadian itu. Saya dimaklumkan mangsa (penumpang yang maut) bekerja di ladang sengkuang di Malim Nawar.

"Mereka adalah tenaga mahir untuk memangkas bunga sengkuang," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tapah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau turut mengumumkan sumbangan Kerajaan Perak sebanyak RM2,000 kepada setiap waris mangsa.

Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan, turut memaklumkan akan memberi RM1,000 kepada setiap waris berkenaan dan membantu keluarga mangsa dalam pengurusan mayat.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X