Sabtu, 28 Oktober 2017 | 6:07pm
KETUA Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menunjukkan kecederaan yang dialami anggota RELA yang didakwa dipukul seorang lelaki berstatus 'Datuk Seri'.

Anggota RELA dakwa dipukul Datuk Seri

KUALA LUMPUR: Tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) cedera selepas mendakwa dipukul seorang lelaki berstatus 'Datuk Seri' ketika sedang bertugas di sebuah tokong dekat Kampung Baru, pagi semalam.

Salah seorang daripada mangsa, Melvin Cheong Mun Khai,19, berkata kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu bermula ketika dia yang melakukan kawalan bersama rakannya, Leong Jiun Jie,21, meminta Datuk Seri berusia 28 tahun untuk mengalih kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.

Mun Khai mendakwa, teguran itu menyebabkan lelaki berkenaan naik berang sebelum dia bertindak menepuk meja dan memaki hamun mereka.

"Seorang rakan, Lee Weng Poh, 27, yang turut bertugas ketika itu datang dan cuba meleraikan keadaan tetapi, dia ditampar lelaki itu.

"Datuk Seri itu turut memukul dan menendang kami selain mengugut akan mengapa-apakan kami selepas ini," katanya.

Mereka ditemui selepas membuat aduan kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong yang juga Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Mun Khai berkata, kejadian mengakibatkan mereka masing-masing cedera bengkak di mata kiri selain sakit di beberapa bahagian badan.

Katanya, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Ampang bagi membolehkan tindakan lanjut diambil polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

"Kita juga sedang menyiasat bagi mengenal pasti suspek serta pengesahan berhubung status Datuk Seri itu," katanya dalam satu kenyataan.

16465 dibaca
Berita Harian X