Ahad, 29 Oktober 2017 | 10:50am
ROSLIDA Ablah menunjukkan gambar suaminya, Ramli Abdul Majid. - Foto Rahim Rahmat

Kedutaan buat proses pengecaman

KUALA LUMPUR: Proses pengecaman terhadap mayat pendaki didakwa rakyat Malaysia yang ditemui di Gunung Damavand, utara Iran, Jumaat lalu akan dilakukan wakil Kedutaan Malaysia, hari ini.

Pendaki Kelab Jelajah Alpine (KJA), Mohd Khafiz Bachok, 39, berkata proses itu akan mengesahkan sama ada mayat ditemui itu Ramli Abdul Majid, pendaki yang hilang lebih setahun lalu di kawasan sama.

Katanya, kenyataan rasmi berhubung perkara itu akan dibuat selepas proses itu selesai, dijangka petang ini.

"Setakat ini tiada pengesahan rasmi bahawa jenazah itu ialah Ramli.

"Pengecaman akan dilakukan hari ini oleh pihak kedutaan dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas pengesahan dibuat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat itu kini ditempatkan di hospital di Amol dekat Wilayah Utara Mazandaran.

Semalam, agensi berita Iran, IRNA, melaporkan satu mayat dipercayai rakyat Malaysia ditemui sekumpulan pendaki ketika menuruni gunung itu pada ketinggian 4,300 meter pada Jumaat lalu.

Penemuan itu mencetuskan tanda tanya sama ada itu jasad Ramli yang hilang pada November tahun lalu bersama-sama rakannya, Syed Redzuan Syed Salim Shatri ketika berada pada ketinggian 4,200 meter Gunung Damavand.

Laporan itu turut menyebut, penemuan mayat terbabit dimaklumkan kepada Jabatan Bulan Sabit Merah di bandar raya Amol yang menghantar pasukan mencari.

Sementara itu, isteri Ramli, Roslida Ablah, 42, ketika dihubungi BH berkata, setakat ini pihak keluarga tidak boleh memberikan sebarang komen selagi jenazah belum disahkan.

"Ini membabitkan urusan rasmi dan saya perlu menunggu pengesahan sebelum memberikan sebarang kenyataan.

"Jika benar jenazah ditemui suami saya, sudah tentu saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya jasad dan pusaranya ada.

"Tetapi, sekarang ia belum disahkan jadi saya tidak boleh berikan komen lanjut. Kita tunggu dulu," katanya.

Berita Harian X