Ahad, 29 Oktober 2017 | 9:01pm
KEMENTERIAN Luar mengesahkan bahawa mayat yang ditemui oleh pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung Damavand, Iran pada petang hari Jumaat, 27 Oktober 2017 merupakan jenazah Ramli Abd Majid, pendaki warganegara Malaysia yang dilaporkan hilang sejak 20 November 2016.

Sah mayat Ramli

KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengesahkan mayat yang ditemui oleh pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung Damavand, Iran, pada petang Jumaat lalu adalah jasad Ramli Abdul Majid, pendaki rakyat Malaysia yang hilang kira-kira setahun lalu.

Pengesahan itu dibuat menerusi satu kenyataan media, malam ini, selepas pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, melakukan pengecaman ke atas mayat berkenaan, hari ini.

"Kedutaan Besar Malaysia di Tehran sedang menghulurkan bantuan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia.

"Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Iran di atas usaha mencari dan menyelamat yang telah dilakukan, serta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa," kata kenyataan itu.

Semalam, agensi berita Iran, IRNA, melaporkan mayat berkenaan ditemui sekumpulan pendaki ketika menuruni gunung itu pada ketinggian 4,300 meter pada Jumaat tetapi operasi membawa dilakukan pada keesokannya.

Dalam kejadian pada 20 November 2016, Ramli, 44, dan seorang lagi pendaki, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, hilang di Gunung Damavand selepas terpisah daripada kumpulan pendaki yang lain.

Mereka adalah sebahagian daripada ahli kumpulan pendaki yang memulakan pendakian ke puncak ketika cuaca baik dari kem tiga pada ketinggian 4,200 meter pada awal pagi.

Hanya dua pendaki berjaya ke puncak manakala pendaki lain termasuk Ramli dan Syed Redzuan diarahkan turun semula dari ketinggian 5,200 meter antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang kerana masa tidak mencukupi untuk sampai ke puncak.

Bagaimanapun, Ramli dan Syed Redzuan dikatakan bertekad menyertai seorang pendaki Turki untuk ke puncak sebelum mereka dilaporkan hilang.

Mayat Syed Redzuan ditemui enam hari selepas dilaporkan hilang oleh pasukan SAR di Yakhar Glacier. Dia dipercayai terjatuh dari ketinggian 4,100 meter.

Misi pencarian Ramli kemudian diteruskan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS) serta operasi SAR secara solo 'Mencari Abang Ram' yang diusahakan oleh pendaki, Khafiz Bachok bersama rakan, Muhamad Aliff Abdullah.

Khafiz, pendaki dari Johor yang pernah menawan Gunung Damavand pada tahun 2011, dipetik sebagai berkata misi itu diteruskan kerana masih berharap Ketua Jurutera Sistem PROTON itu ditemui dalam keadaan selamat.

Julai lalu, misi ketiga mencari Ramli diteruskan oleh Khafiz bersama tiga pendaki dari Kelab Jelajah Alpine (KJA), iaitu Muhammad Illaham Ishak, 40; Azwawi Ismail, 38; dan Mohd Azraie Md Yusof, 34.

Khafiz yang turut mengetuai misi itu dilaporkan, berkata misi SAR berkenaan diteruskan kerana Tehran ketika itu memasuki musim panas manakala salji yang meliputi gunung berkenaan mula mencair.

Ia secara tidak langsung memudahkan kerja menjejaki Ramli di pergunungan berkenaan yang memfokuskan di kawasan timur Gunung Damavand bermula dari ketinggian 4,100 meter dari aras laut hingga 5,300 meter dari aras laut serta kawasan perkampungan berdekatan.

Berita Harian X