Isnin, 30 Oktober 2017 | 12:42pm
4 warga asing ditahan oleh sepasukan anggota Daerah Maritim 3 Lumut kerana melanggar syarat lesen.

4 nelayan warga Myanmar ditahan

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama seorang tekong dan tiga awak-awak warga Myanmar di kedudukan 12 batu nautika dari barat daya Kuala Sungai Bernam di Hutan Melintang dekat sini semalam.   

Dalam kejadian kira-kira jam 4.35 petang itu, warga asing berkenaan ditahan kerana melanggar syarat lesen oleh sepasukan anggota Daerah Maritim 3 Lumut. 

Difahamkan, bot berkenaan berpangkalan di Sungai Besar, Selangor, dan sudah empat hari berada di laut dengan tangkapan pelbagai jenis ikan mencecah 400 kilogram. 

Pengarah Maritim Daerah Lumut, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah, berkata bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota Kapal Maritim Gagah yang diketuai Leftenan Komander Maritim Mohd Husaimi Husin ketika melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara.   

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika.   

"Pemeriksaan lanjut turut mendapati kru warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan semua mereka berusia antara 21 hingga 43 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.   

Beliau berkata, bot bersama semua warga asing itu kemudian diiringi ke Jeti Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan lanjut  mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imgiresen 1959/63.   

Katanya, pihak Maritim akan bertindak tegas kepada bot nelayan yang melanggar syarat lesen menangkap ikan dan melakukan pencerobohan zon tangkapan ikan. 

"Maritim tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang bagi memelihara hidupan marin supaya tidak terjejas," katanya.

Berita Harian X