Selasa, 31 Oktober 2017 | 12:47pm
ANTARA operasi oleh AADK Perlis di sekitar Perlis, semalam. - Foto ihsan AADK Perlis
ANTARA operasi oleh AADK Perlis di sekitar Perlis, semalam. - Foto ihsan AADK Perlis
ANTARA operasi oleh AADK Perlis di sekitar Perlis, semalam. - Foto ihsan AADK Perlis
ANTARA operasi oleh AADK Perlis di sekitar Perlis, semalam. - Foto ihsan AADK Perlis

Ibu tunggal, 2 anak lelaki menagih syabu ditahan

KANGAR: Dua ibu tunggal antara sembilan ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis selepas dikesan di bawah pengaruh syabu dalam operasi di sekitar negeri ini, semalam.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad, berkata wanita masing-masing berusia 22 dan 40 tahun itu ditahan di rumah sewa mereka di Kampung Ngulang di Mata Ayer, dekat sini yang diserbu kira-kira jam 9 pagi.

Ketika serbuan, katanya, AADK turut mengesan tiga lelaki berusia 18 dan 19 tahun di rumah terbabit termasuk dua anak kepada salah seorang ibu tunggal berkenaan.

Beliau berkata, ketika serbuan, mereka semua sedang asyik melayan syabu di rumah sewa berkenaan yang dikatakan turut dijadikan tempat menjual najis terbabit dan melepaskan gian.

"Hasil siasatan, ibu tunggal berusia 40 tahun itu mengambil dadah sejak 10 tahun lalu selepas berpisah dengan suaminya. Dua anak lelakinya turut terjebak.

"Seorang lagi ibu tunggal mempunyai dua anak berusia 10 bulan dan tiga tahun mengaku mengambil dadah sejak usia 13 tahun.

"Dia mendakwa berhenti menagih beberapa tahun lalu, tetapi kembali ke tabiat lama selepas dicerai suami," katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Azizah berkata, selain lima yang ditahan di rumah sewa itu, pihaknya turut menahan empat lagi lelaki berusia 21 hingga 30 tahun di lokasi berasingan di Kampung Belukar Lenga dan Beseri dekat Padang Besar.

"Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 6(2)(d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"AADK Perlis berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah, menyalurkan maklumat kepada kami di talian 04-9764603 dan 04-9770268," katanya.

2064 dibaca
Berita Harian X