Selasa, 31 Oktober 2017 | 12:53pm
TAN Sri Panglima Pandikar Amin Mulia (kanan) dan Datuk Roosme Hamzah (kiri).- Foto fail NSTP/Mohd yusni Ariffin

RUU 355: Kerajaan fail permohonan batalkan saman pemula

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Setiausaha Dewan Rakyat, Roosme Hamzah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini.

Saman pemula itu difailkan 31 Mac lalu oleh bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail berhubung Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Peguam Mansoor Saat yang mewakili Mohamed Tawfik, selepas prosiding dalam kamar Hakim Datuk Wira Wan Kamaludin Md Said hari ini, berkata Pandikar Amin selaku defendan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu dua bulan lalu.

Sehubungan itu, katanya, Wan Kamaludin menetapkan 11 Januari 2018 untuk pendengaran kes permohonan membatalkan saman berkenaan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhasan yang mewakili defendan ketika ditemui pemberita, berkata antara alasan permohonan membatalkan saman pemila itu termasuk remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

"Permohonan itu bersandarkan Perkara 62(1) dan 63(1) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa tatacara Parlimen tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan. Setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri.

"Kesalahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah," katanya.

Pada 31 Mac lalu, Mohamed Tawfik, 66, selaku pihak plaintif memfailkan saman pemula dengan menamakan Pandikar defendan pertama dan Roosme defendan kedua.

Dalam saman pemula itu, pihak plaintif menuntut lapan perisytiharan dan dua perintah antaranya, tiada sebarang usul ahli persendirian yang tidak mematuhi keperluan peraturan-peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat boleh diterima oleh Setiausaha Dewan.

Pihak plaintif juga menuntut perisytiharan, Aturan 49 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, usul Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ialah usul yang tidak mematuhi keperluan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ini memandangkan usul itu tidak disertakan dengan salinan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 serta huraian mengenai tujuan dan sebabnya serta perlu ditolak oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

Berita Harian X