Rabu, 1 November 2017 | 7:16pm
ANGGOTA bomba memeriksa kereta yang terbabit kemalangan di Jalan Kimanis, Kampung Lanas, Papar. - Foto ihsan Bomba
KEADAAN di lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kimanis, Kampung Lanas, Papar. - Foto ihsan Bomba
KEADAAN di lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kimanis, Kampung Lanas, Papar. - Foto ihsan Bomba
KEADAAN di lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kimanis, Kampung Lanas, Papar. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA bomba dan polis mengangkat mayat mangsa kemalangan di Jalan Kimanis dekat Kampung Lanas, Papar. - Foto ihsan Bomba

4 maut dalam tempoh sejam

KOTA KINABALU: Dua pasangan suami isteri maut susulan dua kemalangan berasingan dalam tempoh kira-kira sejam, masing-masing di Semporna dan Papar, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2 petang di Jalan Kimanis dekat Kampung Lanas, Papar, warga Brunei Danny Chin Fon Moe, 54, dan isterinya, Chon Chin Ogi, 55, maut di lokasi kejadian, manakala anak perempuan mereka berusia 17 tahun parah.

Kedua-dua mangsa maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki dari arah Beaufort menghala Kota Kinabalu terbabit dalam kemalangan dengan dua lori tiga tan. Tiga lagi berusia 29 hingga 35 tahun, iaitu pemandu lori dan penumpangnya serta seorang lagi pemandu lori lain, cedera ringan.

Difahamkan, ketika kejadian lori tiga tan yang membawa barang tanpa penumpang itu berada belakang Toyota Vios manakala sebuah lagi lori dari arah Kota Kinabalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Janil Jaya, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada ‪jam 2.05‬ petang sebelum mengejarkan sebuah jentera bersama tujuh anggota ke lokasi yang diketuai Komander Operasi, Mohd Hamdani Mohd Harith.

"Mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada ‪jam 2.51‬ petang," katanya di sini.

Di Semporna, Jain Isnin, 40, pemandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan isterinya, Rapidah Jumah, 39, maut selepas kenderaan mereka terbabas dan terhumban ke dalam gaung di Kilometer 45 Jalan Tawau-Semporna.

Dalam kejadian jam 3 petang itu kenderaan mereka yang dalam perjalanan dari Tawau menghala Semporna dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter lalu terbalik.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat pelbagai kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Izham Borhan, berkata bomba menerima panggilan pada jam 03.19 petang sebelum menghantar sepasukan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS).

Katanya, pasukan bomba mengeluarkan mayat mangsa dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Berita Harian X