Khamis, 2 November 2017 | 4:02pm

Lelaki tergamak curi kereta jiran ditahan

KLUANG: Polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun yang didakwa mencuri dua kereta PERODUA milik jirannya dalam kejadian di Taman Kampung Majid, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata dalam kejadian pada jam 8 pagi kelmarin, polis menerima laporan daripada lelaki berusia 81 tahun berhubung kehilangan kereta Myvi dan Axia miliknya di rumah.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang membuat serbuan dan menahan seorang lelaki berusia 51 tahun di taman perumahan yang sama pada keesokkan harinya.

"Semakan rekod mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau, sementara ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada mengambil sebarang jenis dadah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad berkata, hasil soal siasat pada hari sama, suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di taman perumahan berkenaan sebelum merampas dua kunci kereta yang disorokan di dalam bekas menyimpan beras pada kira-kira 11 pagi.

"Suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah kawasan tempat letak kereta di tingkat lima sebuah hotel di Jalan Bakawali di sini, pada jam 12.30 tengah hari dan menemukan sebuah PERODUA Myvi kelabu.

"Pada jam 5.15 petang hari sama, suspek juga menunjukkan polis tempat dia menyembunyikan PERODUA Axia berwarna perak di tempat letak kereta di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Suspek direman sehingga 5 November ini bagi membantu siasatan.

Berita Harian X