Khamis, 2 November 2017 | 7:27pm
AHLI keluarga mengiringi jenazah Mohd Tarmizi Abdul Hamid, 67 yang mati akibat di cederakan oleh anaknya semalam menggunakan gergaji dan penimbang di Kampong Baru Sri Muda, Sungai Korok, Jitra ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik di Hospital Sultanah Bahiyah. - Foto Sharul Hafiz Zam
AHLI keluarga mengiringi jenazah Mohd Tarmizi Abdul Hamid, 67 yang mati akibat di cederakan oleh anaknya semalam menggunakan gergaji dan penimbang di Kampong Baru Sri Muda, Sungai Korok, Jitra ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik di Hospital Sultanah Bahiyah. - Foto Sharul Hafiz Zam

Warga emas maut sebab serangan jantung

JITRA: Lelaki warga emas yang maut selepas diserang anak kandungnya di Kampung Baru Sri Muda, dekat Sungai Korok, di sini, disahkan meninggal dunia akibat serang jantung dan bukannya kesan dipukul.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan pihak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, ke atas mayat mangsa pagi ini.

Dengan keputusan itu, polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan mengikut Seksyen 326 kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, Mohd Tarmizi Abdul Hamid, 67 dan isteri, Tom Wahid, 64, dilapor parah diserang anak kelima mereka daripada enam beradik, dengan suspek bertindak bertindak agresif menetak dan mencederakan mereka menggunakan gergaji dan alat penimbang air.

Bagaimanapun, Mohd Tarmizi disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.35 tengah malam tadi di HSB, manakala Tom masih dirawat.

Usaha menemubual keluarga mangsa gagal kerana mereka tidak mahu diganggu berikutan masih bersedih dengan apa yang berlaku.

Bagaimanapun jiran mangsa, Suhaidi Said, 28, yang juga antara saksi awal tiba di lokasi kejadian semalam mengakui terkejut melihat keadaan Mohd Tarmizi yang terbaring lemah di bahagian dapur rumah dalam keadaan tubuh yang berlumuran darah.

"Ketika kejadian saya ada di rumah sebelum makcik (Tom) datang tiba-tiba minta tolong...tubuh makcik ketika itu juga dipenuhi darah, sambil dia memaklumkan anak lelaki mereka mengamuk.

"Ibu saya (Fatimah Saad, 63) yang ketika itu turut terkejut, menyuruh saya segera ke rumah mereka dan melihat keadaan pakcik (Mohd Tarmizi)...sebaik tiba, saya nampak dia terbaring di bahagian dapur dalam keadaan berlumuran darah.

"Ketika itu saya panik, namun cuba bertanyakan apa yang berlaku...saya kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis kerana bimbang melihat dia parah," katanya.

Suhaidi berkata, sehari sebelum kejadian, anak lelaki kepada pasangan warga emas itu ditahan pihak berkuasa kira-kira jam 9 pagi kerana disyaki terbabit dengan dadah, tetapi dibebaskan semula kira-kira jam 9 malam.

Berita Harian X