Jumaat, 3 November 2017 | 3:03pm

Pesta dadah di kondominium mewah

 

KUALA LUMPUR: Polis menyedari trend pengedaran dan pengambilan dadah yang menjadikan kondominium sekitar Kuala Lumpur sebagai tempat berhibur.

Pada masa sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata orang ramai yang mempunyai maklumat tentang penyalahgunaan dadah di kondominium mewah juga mesti menyalurkannya segera.

Beliau berkata, sikap berdiam diri atau tidak mengambil kisah segelintir masyarakat menyebabkan kesalahan berkaitan dadah, termasuk parti liar dalam kalangan remaja sukar dibendung.

"Selain pusat hiburan dan jalanan, Polis Kuala Lumpur menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, sentiasa memantau aktiviti dadah yang kini beralih ke kondominium mewah dan elit, selepas kekerapan serbuan di pusat hiburan.

"Justeru, kita sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat orang ramai dalam membanteras kegiatan ini, seterusnya mengenal pasti dalang atau sindiket utama yang membawa masuk dadah ke dalam bandar raya Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai boleh menyalurkan maklumat termasuk menghantar gambar kepada polis menerusi sistem Volunteer Smart Phone Patrol (VSP), Polis KL di talian 03-21460522; Gerakan Polis KL di talian 03-21460585 dan talian 999.

Mengulas mengenai rampasan dadah tahun ini sehingga 31 Oktober lalu, katanya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas Polis Kuala Lumpur sebanyak RM7.73 juta, dengan 12 sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan, membabitkan kumpulan pengedar heroin, syabu dan ganja.

Untuk tempoh sama juga, beliau berkata, seramai 224 penagih tegar didakwa mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kembali kepada tabiat menagih dadah.

DATUK Mazlan Lazim (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam satu sidang media mengenai prestasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur bagi tempoh Kajian 1 Januari hingga 31 Oktober 2017 di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. - Foto Mazlan Lazim
Berita Harian X