Jumaat, 3 November 2017 | 4:07pm
LIOW Soon Hee dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Ampang, hari ini, atas empat tuduhan menyerang dan mencederakan tiga anggota RELA ketika mereka bertugas di sebuah tokong dekat Kampung Baru, Ampang, minggu lalu. - Foto Saifullizan Tamadi

Datuk Seri hadapi 4 tuduhan

AMPANG: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas empat tuduhan menyerang dan mencederakan tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ketika mereka bertugas di sebuah tokong dekat Kampung Baru, Ampang di sini, minggu lalu.

Liow Soon Hee, 29, yang hadir ke mahkamah memakai kemeja putih dan seluar hitam, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azrul Darus.

Bagi kesalahan pertama, Soon Hee didakwa menyebabkan cedera parah terhadap Lee Weng Poh, 27, di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini, jam 6.30 pagi, pada 27 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Soon Hee turut dituduh menyerang penjawat awam, Melvin Cheong Mun Khai, 19, yang sedang menjalankan tugas sebagai anggota RELA, di tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


LIOW Soon Hee dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Ampang, hari ini, atas empat tuduhan menyerang dan mencederakan tiga anggota RELA ketika mereka bertugas di sebuah tokong dekat Kampung Baru, Ampang, minggu lalu. - Foto Saifullizan Tamadi

Bagi kesalahan ketiga dan keempat, dia dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Leong Jun Jie, 21, dan Mun Khai, di tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie, menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Datuk Geethan Ram Vincent, memohon anak guamnya dikenakan jaminan munasabah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X