Jumaat, 3 November 2017 | 6:36pm

Terjun dari pokok mempelam, elak ditahan

KULAI: Seorang lelaki sanggup terjun dari pokok mempelam semata-mata mahu mengelakkan dirinya ditahan polis, kerana mencuri pintu pagar besi dalam kejadian di Bandar Putra Kulai, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said, berkata kejadian berlaku pada jam 7.15 pagi ketika Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Daerah Kulai yang bertugas melihat lelaki terbabit memikul sepasang pintu pagar besi dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, dua anggota URB itu cuba menahan lelaki berusia 25 tahun itu namun suspek terus mencampakkan besi berkenaan dan melarikan diri ke sebuah stesen minyak berhampiran.

"Anggota URB terus mengejar suspek dan berjaya mengesan suspek bersembunyi di atas pokok mempelam berhampiran stesen minyak berkenaan.

"Sejurus mendapati dirinya dapat dikesan, suspek terjun dari pokok dan berlari menuju ke arah sebuah pusat beli belah di sini. Bagaimanapun, suspek kemudian berjaya ditahan di kawasan semak berhampiran pusat beli belah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Razak berkata, suspek dibawa ke IPD Kulai untuk siasatan lanjut dan ujian air kencing suspek didapati positif amphetamin dan turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Difahamkan, ketika kejadian, katanya mangsa iaitu pemilik rumah di Jalan Merbau 5 itu tiada di rumah.

Berita Harian X