Sabtu, 4 November 2017 | 11:43am

Pulang juga akhirnya...


JENAZAH Ramli (gambar dalam bulatan) dibawa ke Masjid Asy Syakirin, Puchong Utama untuk disembahyangkan sebelum ke Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Puchong untuk dikebumikan. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Jenazah Ramli Abd Majid selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini - setahun selepas Allahyarham dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Damavand, Iran.

Van membawa jenazah Allahyarham dilihat keluar dari Kompleks Kargo KLIA kira-kira jam 11.20 pagi.

Terdahulu, pesawat Mahan Air penerbangan W583 yang membawa jenazah berlepas dari Lapangan Terbang Imam Khomeini, Tehran pada jam 10 malam tadi dan mendarat di KLIA jam 10.20 pagi hari ini.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Asy Syakirin, Puchong Utama untuk disembahyangkan sebelum ke Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Puchong untuk dikebumikan.

Pada 29 Oktober lalu, Wisma Putra mengesahkan mayat yang ditemui pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung Damavand, Iran, adalah Ramli, pendaki Malaysia yang dilaporkan hilang sejak 20 November tahun lalu.

Ramli, 44, hilang bersama rakannya, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, ketika berada pada ketinggian 4,200 meter Gunung Damavand.

Mayat Syed Redzuan ditemui enam hari selepas dilaporkan hilang, manakala jasad Ramli dikesan bulan lalu.


VAN jenazah membawa Ramli keluar dari Kompleks Kargo KLIA untuk di bawa ke Masjid Asy Syakirin, Puchong Utama. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X