Sabtu, 4 November 2017 | 5:52pm

Polis sahkan ambil keterangan Raja Petra di UK

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah mengambil keterangan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin di United Kingdom (UK), awal minggu ini.

Tindakan itu dibuat susulan dua laporan polis dibuat Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bulan lalu yang mendakwa Raja Petra memfitnahnya terbabit rasuah menerusi tulisan di sebuah portal berita tempatan.

Difahamkan, keterangan itu diambil pada Rabu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan menghantar tiga pegawai penyiasat Bukit Aman ke UK bagi tujuan terbabit.

"Ya. Saya sahkan menghantar tiga pegawai ke UK untuk merekod keterangan Raja Petra.

"Mereka (pegawai penyiasat) dijangka pulang ke tanah air hari ini atau esok," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Difahamkan, polis terpaksa ke UK berikutan Raja Petra kini hidup dalam buangan di sana selepas melarikan daripada dakwaan menghasut dan fitnah di Malaysia pada 2006.

Mohamed Apandi sebelum itu membuat laporan polis di Kuantan, Pahang pada 22 Oktober lalu dan satu lagi oleh pejabatnya pada hari sama di Putrajaya.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

Terdahulu, Raja Petra menerusi dua artikel tulisannya bertajuk "Strong Rumours Surrounding the AG Part 1 and Part 2" didakwa membuat pelbagai tuduhan rasuah terhadap Mohamed Apandi.

Raja Petra turut didakwa menulis kononnya satu pertemuan diadakan pada 2015 antara hakim kanan dan seorang ahli politik bagi membincangkan dakwaan menjatuhkan kerajaan. 

Berita Harian X