Ahad, 5 November 2017 | 4:57pm
PENGARAH Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka/Negeri Sembilan, Kapten Maritim Ahmad Faridi Ferdaus (kiri) menunjukkan kapal yang digunakan dalam cubaan membawa muatan rokok seludup. - Foto BERNAMA

APMM rampas rokok RM5.2j

ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup rokok pelbagai jenama bernilai RM5.2 juta termasuk cukai dalam operasi berhampiran perairan Tanjung Tuan, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi, Pusat Pengawasan Maritim mengesan sebuah kapal nelayan yang mencurigakan di selatan perairan selat Melaka sedang menuju arah utara disyaki membawa pelbagai barang seludup.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 5 (DM5) Kuala Linggi, Kepten Maritim Ahmad Faridi Ferdaus, berkata berdasarkan maklumat itu, pada jam 6.30 pagi, seramai 10 anggota menggunakan Bot Petir 84 bergegas ke lokasi dan mengesan sebuah kapal tukar barang pada jarak 7.2 batu nautika dari perairan itu.

Beliau berkata, sebaik menghampiri kapal induk terbabit, pihaknya menahan lapan krew warga Indonesia berusia 21 hingga 47 tahun termasuk seorang tekong selain menemui rokok pelbagai jenama dalam bot itu yang dalam perjalanan dari Singapura ke Satun, Thailand.

"Hasil maklumat dan risikan, kita percaya kapal ini digunakan sebagai kapal induk (mother ship) kepada bot pancung sebagai tempat pemunggahan rokok di tengah laut sebelum ia di seludup masuk ke negara ini.

"Pemeriksaan pada kapal menemui 1,040 kotak berisi 52,000 karton rokok putih pelbagai jenama. APMM merampas kapal dan enjin dengan nilai rampasan keseluruhan termasuk kapal berjumlah RM5.4 juta," katanya pada sidang media di Pejabat APMM DM5 Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, lapan krew yang ditahan juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tangkapan dibuat itu adalah yang ketiga membabitkan kes penyeludupan rokok pada tahun ini dan jumlah rampasan tertinggi setakat ini disebabkan permintaan tinggi di pasaran gelap terutama di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Kita mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk memberi maklumat berkaitan kesalahan maritim dengan menghubungi talian hotline 06-3876804 yang beroperasi selama 24 jam," katanya.

251 dibaca
Berita Harian X