Isnin, 6 November 2017 | 8:03pm
- Foto Nadim Bokhari

SPRM rakam keterangan 'Datuk Seri'

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang merakam keterangan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri berhubung dakwaan cubaan memberi rasuah bagi menutup satu kes membabitkan dirinya.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, yang mengesahkan perkara itu, berkata setakat ini individu berkenaan tidak ditahan.

 

"Kita panggil individu terbabit untuk dirakamkan keterangannya, tiada penahanan setakat ini.

 

"Ia bagi membantu siasatan kes dakwaan suapan yang ditawarkan oleh individu terbabit bagi menutup dan menarik balik laporan berhubung kes pukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya ketika dihubung BH.

 

Difahamkan, Datuk Seri berkenaan dipanggil selepas dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan hari ini atas dua tuduhan menggunakan dadah, petang tadi.

 

Pada 31 Oktober lalu, anggota RELA yang menjadi mangsa pukul Datuk Seri terbabit tampil membuat laporan ke SPRM.

 

Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin dipetik sebagai berkata, ada orang tengah menghubungi seorang mangsa dan menawarkan wang berjumlah RM10,000.

 

Dalam kejadian 27 Oktober lalu, tiga anggota RELA cedera selepas mendakwa dipukul seorang lelaki bergelar Datuk Seri ketika sedang bertugas di sebuah tokong dekat Kampung Baru, Ampang, di sini.

 

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu bermula ketika anggota RELA berkenaan meminta Datuk Seri berusia 28 tahun mengalih kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.

 

Teguran itu menyebabkan Datuk Seri berkenaan berang dan memaki hamun mereka, sebelum didakwa menampar, memukul, menendang serta mengugut anggota RELA terbabit.

Berita Harian X