Selasa, 7 November 2017 | 6:55pm

Dadah: Pelakon, pengacara dituduh minggu ini

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara lelaki serta dua lagi yang ditahan kerana positif ganja serta memiliki ganja mampat seberat 5.97 gram, di Jalan Bukit Setiawangsa di sini, Jumaat lalu dijangka dituduh minggu ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata pihaknya di peringkat akhir melengkapkan kertas siasatan, sebelum menghantarnya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Kita jangka akan mendapat arahan pertuduhan dari pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini.

"Buat masa ini, semua suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis sebaik saja siasatan selesai," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mohamad Roy berkata, hasil ujian saringan air kencing pelakon itu dan dua lagi yang ditahan positif ganja.

Jumaat lalu, pelakon berusia 25 tahun itu serta adik lelakinya berusia 21 tahun serta seorang lagi rakan berusia 25 tahun ditahan di stesen minyak di Jalan Bukit Setiawangsa, kira-kira jam 1.30 pagi.

Anggota polis yang menjalankan pemeriksaan ke atas kereta Honda Jazz dinaiki mereka menjumpai satu tin aluminium di bawah kerusi pemandu berisi satu paket plastik lut sinar mengandungi ketulan disyaki ganja mampat seberat 5.97 gram.

Polis turut menemui satu botol plastik yang diubah suai dipercayai peralatan untuk menghisap dadah berkenaan.

Semakan lanjut mendapati ketiga-tiga mereka tiada rekod jenayah lampau.

9173 dibaca
Berita Harian X