Selasa, 7 November 2017 | 8:30pm
ZULKIFLI (tiga dari kiri) berbasikal bersama-sama pegawai kanan dan anggota polis Kontinjen Perlis ketika program High Profile Policing Kayuhan Basikal Cegah Jenayah sempena lawatan rasmi ke Perlis. - Foto Hafizudin Mohd Safar
ZULKIFLI (dua dari kiri) dan Azisman (empat dari kanan) berbasikal bersama-sama pegawai kanan dan anggota polis Kontinjen Perlis pada program High Profile Policing Kayuhan Basikal Cegah Jenayah sempena lawatan rasmi ke Perlis di Kangar. - Foto Hafizudin Mohd Safar

Program Trim dan Fit tetap dikuatkuasakan 2018

KANGAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap akan menguatkuasakan dasar Trim dan Fit sebagai pengesahan jawatan dan kenaikan pangkat pegawai serta anggota dalam Skim Perkhidmatan pasukan itu, bermula 1 Januari tahun depan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata pihaknya sudah menjelaskan perkara ini lebih daripada dua tahun dan berharap semua warganya sudah bersedia untuk penguatkuasan dasar terbabit.

Katanya, tempoh masa yang cukup sudah diberikan kepada semua untuk melakukan sesuatu yang proaktif dengan menjalani kehidupan sihat dan cergas sekali gus menurunkan berat badan.

"Apabila ia dilaksanakan kelak, tiada lagi alasan boleh diterima sekiranya terdapat individu yang masih tidak berjaya menguruskan badan dan kekal pada tahap kecerdasan yang baik untuk bertugas.

"Mulai 1 Januari tahun depan, pegawai dan anggotanya harus melepasi ujian Indeks Jisim Badan (BMI) dan ujian kecergasan untuk dipertimbang kenaikan pangkat.

"Budaya sihat perlu dijadikan budaya semua lapisan pegawai dan anggota bukan sahaja untuk memastikan Dasar Trim and Fit dapat dicapai malahan demi menjaga kesihatan masing-masing supaya dapat berkhidmat dengan baik untuk masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbasikal sempena program lawatan kerjanya ke Perlis di Kangar, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Azisman Alias.

Mengulas mengenai program terbabit, Zulkifli berkata, berbasikal adalah salah satu aktiviti yang mudah untuk dilakukan oleh sesiapa sahaja bagi mengekalkan kecergasan dan juga berat badan.

"Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak semestinya perlu berkayuh jauh tapi setakat sekitar kawasan perumahan yang dilakukan secara disiplin pun sudah memadai," katanya.

Berita Harian X