Rabu, 8 November 2017 | 6:56pm

Rogol: Dipenjara 30 tahun

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan merogol seorang pelajar Tingkatan Satu.

Tertuduh, Engku Muhammad Ajwad Engku Adnan, 22, dari Sungai Tong, Setiu, mengaku salah terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol yang dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 13 tahun di dalam sebuah kereta yang diparkir di kawasan sekolah menengah di Setiu, jam 9 malam pada pertengahan Jun 2015.

Tertuduh turut mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa di dalam kereta di tempat sama masing-masing pada jam 12.30 tengah malam pada akhir Jun 2015 dan jam 8.30 malam pada awal Ogos 2015.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Azman menetapkan hukuman 10 tahun dan lima sebatan bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X