Khamis, 9 November 2017 | 11:56am
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, hari ini, atas tuduhan memberi suapan sebanyak RM100,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Tauke bot Vietnam mengaku salah beri suapan RM100,000

KUALA TERENGGANU: Seorang tauke bot nelayan warga Vietnam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan memberi suapan sebanyak RM100,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Tertuduh, Tran Van Sang, 48, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Van Sang didakwa bersama-sama dua lagi tertuduh yang juga pasangan suami isteri, Abd Rauf Mohamad, 36, dan Sa Ly Hah, 29, memberi rasuah sebanyak RM100,000 kepada Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhmmad Rezal Kamal Bashah.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya untuk melepaskan dua bot nelayan Vietnam (KG 90143TS dan PAF4940) yang ditahan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Kampung Meraga Beris, Kemaman, jam 12.50 tengah hari pada 5 November lalu.

Bagaimanapun, Abd Rauf dan isterinya, Sa Ly Hah yang juga warga Vietnam mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan ketiga-tiga tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 28 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Mahkamah juga menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin terhadap Abd Rauf dengan syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada dua tertuduh Vietnam kerana mereka pemegang pasport negara asing.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh, manakala semua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Rozilawati Mat Hassan.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang jurubahasa sambilan bersama suami dan tauke bot direman kerana memberi suapan kepada pegawai APMM.

Jurubahasa wanita yang dibantu suaminya yang juga pekerja pelantar minyak dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam proses rundingan antara tauke bot Vietnam dengan pegawai APMM.

Berita Harian X