X
Khamis, 9 November 2017 | 2:09pm
M Gunalan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis Bukit Aman, awal bulan ini. - Foto Nurul Fhatihah Zakinan
M Gunalan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis Bukit Aman, awal bulan ini. - Foto Nurul Fhatihah Zakinan

Penganggur menyamar polis dihukum penjara 6 bulan

AYER KEROH: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis Bukit Aman, awal bulan ini.

M Gunalan, 40, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyamar sebagai anggota polis dan cuba menggunakan kuasa jawatan itu di belakang pejabat polis Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, jam 9.40 pagi, pada 2 November lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira jenayah yang dilakukan tertuduh adalah serius, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguambela memohon hukuman diringankan dengan alasan menjaga ibu bapa, selain tidak bekerja.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas tertuduh bermula hari ini.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengaku dirinya anggota polis dari Bukit Aman dan kehadirannya untuk membuat pemeriksaan anggota polis di mahkamah.

Semakan seorang daripada anggota polis mahkamah mendapati, tiada sebarang nombor polis tertera pada kad pengenalan tertuduh, selain gagal mengemukakan kad kuasa polis yang didakwa tertinggal di Kuala Lumpur.

Tertuduh juga memaksa seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan membuat pemeriksaan identitinya di Ibu Pejabat Bukit Aman untuk pengesahan status.

Bagaimanapun, semakan mendapati tertuduh pernah dijatuhi hukuman penjara selama 20 bulan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada tahun 2015.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X