Jumaat, 10 November 2017 | 3:10pm
AHLI keluarga penuntut UPNM yang mati akibat didera, Zulfarhan Osman Zulkarnain, di luar Mahkamah Tinggi Jenayah 1 setelah selesai pertuduhan semula kes tersebut di Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

6 penuntut UPNM mengaku tidak bersalah bunuh rakan

KUALA LUMPUR: Enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat bunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, Mei lalu.

Pengakuan pertama kali itu dibuat di hadapan Hakim Azman Abdullah dan direkodkan mahkamah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Bagi lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri yang didakwa membunuh Zulfarhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seorang lagi tertuduh, Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat membunuh mangsa.

Pada 14 Jun lalu, kesemua tertuduh yang berusia 21 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik 04-10 Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM Sungai Besi, di sini, pada 21 dan 22 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah dan Nur Akmal Farhan Aziz manakala Mohd Fadly Hashim, Nurul Syuhada Abdullah, Zamri Idrus dan Joshua Tay bertindak sebagai peguam bela semua tertuduh.

Mahkamah menetapkan Isnin depan untuk sebutan semula kes.

3727 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »