Isnin, 13 November 2017 | 5:20pm
NORZAILAN Omar ketika di Mahkamah Majistret Bahau atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan lapan individu termasuk enam sekeluarga yang rentung, Jun lalu. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap
NORZAILAN Omar ketika di Mahkamah Majistret Bahau atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan lapan individu termasuk enam sekeluarga yang rentung, Jun lalu. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

Pemandu treler sebab 8 kematian dibicara 20 Disember

BAHAU: Mahkamah Majistret Bahau hari ini menetapkan 20 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan seorang pemandu treler yang menyebabkan lapan maut dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong, 11 Jun lalu.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menetapkan tarikh itu selepas dipersetujui pihak pendakwaan dan peguam bela.

Tertuduh, Norzailan Omar, 44, dari Triang, Pahang yang sebelum ini membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jelebu 15 Jun lalu, tiba di mahkamah jam 9.50 pagi ditemani rakannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya tanpa mengambil perhatian mengenai segala aspek termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta lalu lintas hingga kemalangan yang mengorbankan lapan mangsa termasuk enam sekeluarga.

Tragedi itu mengorbankan Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 51, isteri, Masnoraida M Yusoff, 45, serta empat anak mereka, Wan Muhammad Muhaimmin, 22, Wan Nor Athira, 18, Wan Mohd Ammar Haziq, 13, dan Wan Nur Aiesya, 7.

Dua lagi yang maut adalah Osman Mohamed Taip, 31, dan isteri Rosniza Othman, 32.

Pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah, manakala tertuduh diwakili D Anuratha.

Berita Harian X