Selasa, 14 November 2017 | 9:47am
ANGGOTA APM meninjau Kampung Pasir, Skudai yang dilanda banjir kilat akibat hujan berterusan sejak jam 6 pagi tadi.
ANGGOTA APM meninjau Kampung Pasir, Skudai yang dilanda banjir kilat akibat hujan berterusan sejak jam 6 pagi tadi.

Banjir landa Ayer Hitam

BATU PAHAT: Seramai 23 orang daripada 10 keluarga di Lorong Budin Kilometer (KM) 31.5 Jalan Batu Pahat, Ayer Hitam dekat sini, ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir selepas hujan lebih dua jam, awal pagi tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru, berkata semua mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Lorong Telekom Ayer Hitam yang dibuka pada jam 4 pagi tadi.

"Hujan lebat berterusan melebihi dua jam awal pagi tadi menyebabkan limpahan air dari sistem perparitan berdekatan dengan kawasan perumahan sehingga banjir.

"Pemantauan paras air masih diteruskan oleh semua agensi terbabit di lokasi kerana cuaca masih hujan," katanya.

Sementara itu, hujan lebat berterusan sejak jam 6 pagi tadi menyebabkan Kampung Pasir, Skudai, di sini, dilanda banjir kilat.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru, berkata banjir kilat berpunca daripada taburan hujan tinggi serta paras Sungai Skudai meningkat.

"Sungai kini berada pada paras berjaga-jaga dan pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

"Buat masa ini, belum ada penduduk yang dipindahkan dan kami akan mengemas kini maklumat," katanya.

Satu pasukan APM Johor digerakkan ke kawasan terbabit untuk pemantauan.

1228 dibaca
Berita Harian X