Rabu, 15 November 2017 | 9:02am

Empat anggota keluarga Ketua Pemuda MCA Tanjong, rentung

GEORGETOWN: Empat anggota keluarga Ketua Pemuda MCA Bahagian Tanjong, Lim Swee Bok, maut dalam kebakaran di kediaman mereka, di Pangkalan Weld di sini hari ini.

Mereka yang maut dalam kejadian jam 6 pagi itu ialah isterinya Chen Yen, 35, anak lelaki Lim Yin Chun, 9, dan anak perempuan Lim Jia Yiin, 8, serta ibu ketua pemuda MCA itu Lau Sai Poh, 62.

Rumah kluster dua tingkat di Pintasan Cecil 5, yang didiami keluarga Swee Bok itu musnah sepenuhnya dan ketika kejadian dia tiada di rumah.

Swee Bok yang tiba di rumahnya ketika pihak bomba berusaha memadamkan kebakaran dilihat tidak dapat menahan kesedihan dan terpaksa ditenangkan oleh beberapa jirannya. Beliau juga enggan ditemubual ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.08 pagi.


ANGGOTA bomba mengusung mayat mangsa kebakaran di Pengkalan Weld, Georgetown, pagi tadi. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

"Dua jentera bersama 20 anggota dan pegawai dari Balai Lebuh Pantai serta Balai Jalan Perak dihantar ke lokasi.

"Sebaik tiba, kita mendapati sebuah rumah kluster terbakar hampir 60 peratus dan jiran memaklumkan ada penghuni di kediaman berkenaan.

"Bomba segera mengawal kebakaran sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.10 pagi tadi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mayat Chen Yen dan Yin Chun ditemui dalam tandas tingkat bawah bersebelahan dapur manakala mayat Sai Poh dijumpai di ruang tamu rumah.

Jia Yiin ditemui rentung di bilik tingkat atas rumah berkenaan.


EMPAT beranak termasuk dua kanak-kanak maut selepas terperangkap dalam kebakaran di Pengkalan Weld, Georgetown, pagi tadi. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

8928 dibaca
ANGGOTA bomba menyiasat lokasi kebakaran di Pengkalan Weld, Georgetown, pagi tadi. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Berita Harian X