Khamis, 16 November 2017 | 9:02am
JURAGAN warga tempatan dan tong gas LPG yang dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Ice Box, Tawau, malam tadi. - Foto Ihsan PPM Tawau

Juragan seludup gas ditahan

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan seorang lelaki dan merampas 24 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di kawasan perairan Ice Box dekat sini, malam tadi.

Suspek berusia 35 tahun berasal dari Kampung Hidayat dekat sini, ditahan sepasukan anggota PPM selepas bot laju dikendalikannya dikesan dalam keadaan mencurigakan di perairan itu, kira-kira jam 8.20 malam tadi.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz, berkata hasil pemeriksaan dalam bot laju itu menemui tong LPG jenama PETRONAS (12) dan MyGas (12) dianggarkan bernilai RM4,560.

"Siasatan mendapati, juragan tempatan itu tidak mempunyai kelulusan atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkaitan pemilikan barang kawalan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yazib berkata, pemeriksaan di ruang bot pula menemui 13 karung berisi pakaian dan kasut terpakai disyaki untuk diseludup ke Indonesia.

"Juragan gagal menunjukkan dokumen atau surat berkaitan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia berkenaan barangan yang dibawa.

"Semua barang rampasan, termasuk bot laju bersama satu unit enjin sangkut dianggarkan bernilai lebih RM42,560 dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Perkara 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Berita Harian X