Khamis, 16 November 2017 | 12:24pm
SEBAHAGIAN daripada 23 penagih yang ditahan AADK dalam serbuan di 'port' dadah di kebun kelapa sawit di Kampung Paya Nedam di Pendang - Foto ihsan AADK

23 penagih dadah dicekup dalam hujan lebat

PENDANG: Hujan lebat melanda Kampung Paya Nedam, dekat sini, tidak menghalang kumpulan penagih mengunjungi kebun kelapa sawit di kawasan itu yang menjadi 'port' melepaskan gian dadah.

Tindakan itu membawa padah apabila lokasi berkenaan diserbu sepasukan anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebelum 23 individu disyaki penagih diberkas.

Ketua Operasi AADK Pendang, Mohd Hafiz Mansor, berkata pihaknya berdepan kesukaran kerana lokasi penagihan di kawasan kebun kelapa sawit itu luas, selain mempunyai banyak lorong tikus yang memudahkan penagih melarikan lari.

"Sepasukan 10 anggota AADK terpaksa mengepung lokasi terbabit ketika serbuan hampir tiga jam bermula 3 petang semalam, sebelum 23 penagih ditahan majoritinya membabitkan penganggur, pesawah dan petani.

"Apa yang mengejutkan, kebanyakan penagih tidak mempedulikan keadaan hujan lebat, sekali gus membuktikan tahap kebergantungan tinggi mereka kepada dadah," katanya.

Mohd Hafiz berkata, selain kebun kelapa sawit itu pihaknya turut menyerbu tiga kediaman di Kampung Tok Besah, Kampung Belakang Pendang dan Kampung Sukamari, dekat sini, dengan empat lagi penagih ditahan.

Operasi kedua ini, katanya bermula kira-kira jam 11 malam dan berakhir 2 pagi tadi.

"Ketika serbuan dilakukan ada di antara penagih cuba lari dengan bersembunyi di atas bumbung termasuk ada yang melawan sehingga menyebabkan kecederaan ringan kepada anggota bertugas.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua 27 yang ditahan berusia antara 17 hingga 47 tahun, positif dadah jenis opiat serta methamphetamine.

"Mereka kini disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.

506 dibaca
Berita Harian X